Archive for September 2008

Alahai...gulai

Gulai batang pisang adalah antara masakan kampung orang Kedah yang masih diminati ramai terutama pada majlis kenduri kahwin.

Gulai ini, yang dicampurkan dengan daging, pasti menjadi rebutan dan masakan ini lazimnya akan habis dahulu berbanding yang lain semasa kenduri. Masakan ini jarang ditemui di restoran dan kedai makan walaupun juadah ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Gulai batang pisang, gulai kawah, gulai nangka, gulai ikan talang masin, gulai rebung dan kerabu pucuk paku adalah antara masakan kampung orang Kedah yang boleh ditemui pada majlis kenduri kahwin.

"Kalangan generasi sekarang tidak pernah menikmati keenakan gulai batang pisang, apabila ia dihidangkan sudah tentu menjadi rebutan," kata Hamid Mat, 70.

Hamid memilih gulai batang pisang, selain dari masakan lain seperti kurma daging, untuk dihidangkan kepada tetamunya pada majlis perkahwinan anaknya Mohamad Nizam, 28, dan pasangannya Habibah Kassim, 28, di Kampung Paya, Kodiang di sini, baru-baru ini.

POKOK PISANG HUTAN

Lazimnya pokok pisang hutan yang tumbuh liar di kawasan berbukit digunakan dalam masakan ini.

Pokok pisang hutan tidak ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan disebabkan ia mempunyai banyak biji. Hanya pokok pisang hutan yang masih muda iaitu belum berbuah diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang, untuk dimasak.

Menurut Hashim Awang, 73, seorang yang mahir dalam mencari dan mengambil batang pisang hutan, pokok pisang jenis ini menjadi pilihan kerana pisang lain perlu ditanam dan buahnya boleh dimakan.

"Pokok pisang hutan ini tidak payah ditanam, banyak mana nak ambil pun boleh dan ia memang cukup untuk berapa ramai tetamu yang diundang," katanya.

Selepas pokok pisang ditebang, batang pisang itu perlu dikoyak kulitnya untuk mengambil umbut yang masih lembut.

Walaupun terpaksa meredah belukar, hutan dan mengharungi anak sungai, semangat gotong-royong yang masih diamalkan penduduk membuatkan tugasan mengambil batang pisang hutan itu agak mudah dan menyeronokkan.

Ketika meredah rimba, mereka turut berpeluang untuk mengambil hasil hutan seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam.

"Umbut batang pisang dimasukkan ke dalam kawah apabila daging hampir separuh masak, jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut," kata Samsudin Ismail yang mengetuai kumpulan penduduk memasak pada majlis kenduri tersebut.

MASAKAN PILIHAN

Pada kenduri tersebut, ramai tetamu yang ditinjau pendapat mereka mengakui masakan tersebut memang sedap dan menyelerakan. Bagi anak kampung yang bekerja atau menetap di kota, sudah tentu kepulangan mereka ke kampung cukup bermakna apabila berkesempatan menikmati keenakan gulai batang pisang.

"Sudah lama saya tidak pekena (makan) gulai batang pisang ini, ini kegemaran saya sejak kecil, mana ada di bandar," kata Ismail Husin, 49, seorang guru yang bertugas di Kuala Lumpur.

Mereka mahukan masakan kampung orang Kedah ini terus dipertahankan bukan sahaja di majlis kenduri kampung malah patut dijadikan menu pilihan pada majlis-majlis rasmi anjuran badan-badan kerajaan di bandar-bandar besar.

Leave a comment

Terima kasih ayah dan arwah emak (Zawiyah)

Kata orang hidup di KL cukup dengan anak dua atau paling tinggi empat.
Sekali fikir memang betul, cukuplah tiga (sebab sekarang sudah ada 3) atau
empat.

Kata orang kalau anak ramai takut nanti ada yang terkurang kasih sayang.
Kasih sayang bukanlah seperti air dalam baldi sekali curah sudah habis
kasih sayang umpama air mata tidak akan habis selagi hayat kita. Tidak luak
kasih sayang ayah dan mak pada 3 anaknya. Malah bagai di set dikepala ayah
dan emak kegemaran ke tiga anak-anaknya .

Kata orang kalau anak ramai takut yang lahir kurang kualiti kerana
kekurangan kewangan untuk memberi ilmu pengetahuan. Mungkin betul
pandangan mereka kerana untuk menghantar seorang anak ke kindergarden
francais terkenal di Kuala Lumpur sudah mencecah RM2k - RM3k setahun. Namun
masih ada alternative lain dalam proses penerapan Ilmu kepada anak-anak.
Anak-anak Ayah dan Emak tidak ke kindergarden ataupun tadika namun
Alhamdulillah semua boleh membaca ketika menjelang enam tahun.

Kata orang lagi tinggal di KL kalau anak ramai susah, suami isteri kerja
anak porak peranda. Ada benarnya kata mereka, Mungkin masa berkualiti
amat penting bagi ibu yang
berkerjaya. Liburlah anak-anak sepuasnya
dengan pelbagai garapan pengajaran
yang mana akan memberi
pengajaran pada mereka di masa depan.


Mempunyai keluarga besar mempunyai kebaikan tersendiri. Jika di lihat
mereka berasal dari keluarga besar mudah berinteraksi dengan sekeliling
kerana kebiasaan mereka. Begitu juga mereka tidak lokek berkongsi kemudahan
yang ada dengan saudara mara. Mudah menghulur bantuan kesan drp keakrapan
yang terjalin sedari kecil. Paling menarik jika ada upacara kenduri ramai
pulak tenaga yang menolong persiapan secara gotong royong.

Mempunyai keluarga besar umpama syarikat yang banyak anak syarikat dan
sentiasa berangkaian antara satu sama lain. Sekiranya anak-anak syarikat
berkeberuntungan maka keuntungan bertempiasan kerangkaian-rangkaian yang
lain. Malah jika ada anak syarikat yang hampir tumbang ia akan di pulihkan
oleh yang lain. Namun kepakaran ibu-bapa merupakan tonggak perhubungan dan
kekuatan anak-anak. Sentiasa ingatkan dan kenalkan akar mereka. Pesan emak
bacakan "Alamnasroh....." ketika masak nasi supaya
anak-anak menjadi sebati seperti nasi bukan lerai seperti beras. Mendidik
anak-anak kata Mak perlu berhemah biar meresap ke akhir hayat.

terima kasih ayah dan arwah mak

Leave a comment

Sekali pasir berubah....

Umum telah mengetahui ragamnya cuaca Malaysia di garisan lintang
Khatulistiwa ini. Panas dan lembab sepanjang tahun itulah antara hafalan
minda dari teks geografi alam persekolahan lalu. Lazimnya angin monson
barat daya membawa hujan lebat ke beberapa negeri di seluruh Semenanjung
dan mengakibatkan banjir besar. Teringat ketika di laman ayah dan mak
ketika kecil dan remaja. Rumah di tengah sawah agak bergegar ketika dirempuh
ribut barat daya. Kami adik beradik berpelukan ketakutan. Jika berlaku
ribut ayah akan pastikan semua anak-anaknya berada di jelapang padi
berdekatan rumah. Hanya beliau sahaja berada di atas rumah menanti redanya
ribut. Tidak hairanlah dimusim sebegini banyak rumah yang roboh atau
diterbangkan bumbung oleh angin monson di Pida 5 atau kawasan yang
sewaktu dengannya.

Ayah merupakan seorang fasih menterjemahkan olakan alam semula jadi.
Mungkin kesan daripada pengalamannya ketika kecil yang pebuh dengan onak dan duri.. Melihat pergerakan bulan ayah dapat mengagak air laut pasang atau surut biarpun rumah tengah sawah itu agak berkilometer jua daripada pinggir laut Kuala Sanglang. Melihat pergerakan asap yang keluar daripada nasi dihidangan abah dapat merasai yang hujan pasti akan berterusan. Mendung biru gelap membawa hujan berbeza dengan kegelapan dek bawaan ribut itu yang dikatakan oleh ayah. "cepat-cepat pi ikut mak nuhh ribut nak mai dah", antara arahan ayah kepada kami apabilamelihat kegelapan drp arah barat daya atau timur laut. Apa yang pasti dahulu anak ayah yang seorang ini jika melihat kumulusnimbus besar hitam
pekat mestinya akan berlarian pulang meskipun dalam perjalanan ke sekolah.
Seolah kumulus itu mahu menelannya, dan yang pasti hari itu ponteng sekolah la jawabnya.

Musim sebegini jua banyak ikan-ikan daripada hulu sungai bergerak bebas
menuju tali-tali air di Dataran Muda, Kedah. Ternyata pergerakan ikan-ikan
ini memberi rezeki kepada penduduk-penduduk di kawasan ini. Musim sebegini
merupakan cuti tanpa gaji bagi golongan nelayan pinggiran pantai dan laut
dalam. Namun bagi golongan pesawah habuan ikan air tawar yang menerjah ke
kawasan mereka di musim ini menjadi rezeki yang dibawa hingga ke Pekan
Rabu, Alor Star sebagai pekasam dan ikan kering. Kegiatan menahan taut
selalunya dilakukan dimusim ini. Taut dibuat daripada buluh yang diraut
sebesar jari kelingking dan dipotong empat atau lima jengkal panjang.
Kemudian ianya akan diikat dengan tali tangsi pendek kemudian diperambut
dengan mata kail besar yang sesuai dengan mulut haruan. Batang-batang taut
ini akan dipacak batas tepi sawah mengadap ke arah pokok-pokok padi.
Batang-batang taut ini akan ditinjau dari masa kesemasa bagi memastikan
umpannya sudah mengena ataupun tidak. Kegiatan ini selalunya dilakukan
ketika dinihari.

Banjir besar yang melanda di sekitar bulan Disember menyebabkan jadual
peperiksaan-peperiksaan besar (SPM dan STPM) Malaysia diperawalkan. Bumi
Megat Dewa seingatku tidak pernah disentuh banjir mungkin disebabkan bentuk
geografinya yang berselirat dengan saliran memudahkan pergerakan air ke
laut. Tetapi kejadian pada tahun 2005 telah mengubah panorama sebelum ini.

Pengalaman aku menghadapi banjir besar di Kedah pada tahun 1988. Ketika itu
cuti bulan Desember. Hujan yang berterusan di sertai dengan air pasang di Selat Melaka dan pelepasan air dari Empangan Pedu dikatakan antara penyebab banjir besar tahun itu. Seronok menghadapi banjir hingga hampir melupai keselamatan
diri. Pengalaman meredah air banjir ke paras pinggang dan hampir tertelan air berwarna teh ais merupakan sesuatu kenangan yang sukar aku perolehi. Perjalanan balik ke Megat Dewa melalui Jalan Putra kelihatan sawah-sawah padi mulai ditenggelami dengan banjir di sekitar Mergong, Alor Janggus dan Jerlun. Tahun 1988 ini jua bumi Jitra teruk di ratah banjir besar menyebabkan beberapa sekolah disekitarnya menghadapi bahana peninggalan banjir tersebut. Kesannya tercatat di Majalah Sekolah Men Jitra tahun 1989.

Desember ini Angin Monson tidak lupa akan tugasnya. Banjir besar di pantai
timur Semenanjung telah mengorbankan beberapa nyawa. Malang tidak berbau
dan sesiapapun tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.

Dahulu mandi berkuyup dengan air hujan tidak pernah demam, kini
tertempias air hujan pun sudah terbersin.

Leave a comment

Pengenalan Megat Dewa

Suatu ketika dahulu kota inilah yang memegang erat telapak kakiku sehingga aku merasakan ia adalah pemaustautinanku. Namun setelah menempuh pelbagai simptom kota, aku dan keluarga ingin menikmati ketenangan dan kedamaian serta ingin berbakti kepada bonda di tengah sawah menghijau di Pida 5, Megat Dewa sana.

Pida 5 tidaklah segah Bukit Bintang, tidak menjadi tumpuan seperti KLCC namun Pida 5 adalah pertempatan pertanian berasaskan padi. Saujana mata memanjang kehijauan sawah padi yang memukau lantaran itulah jelapang padi Malaysia. Pertempatan yang diselarati dengan puluhan taliair Pengairan Muda yang disalurkan daripada Empangan Pedu.
Petempatan-petempatan inilah yang memenuhi periuk-periuk seMalaysia. Sudah pasti umum telah mengetahui produk-produk beras seperti Jasmin, Rambutan, Bernas, Fajar dan beberapa lagi merupakan hasil titik peluh petani-petani Kubang Pasu.

Megat Dewa adalah sebahagian Kubang Pasu, berada dipersempadanan Kedah dan Perlis. Satu daerah yang menyumbang pelbagai tokoh utama negara. Jitra ialah pekan utamanya tidaklah sesibuk pekan lain di Kedah namun daerah ini telah dinobatkan sebagai daerah pendidikan negeri. Terdapat beberapa pusat pendidikan berada di daerah ini seperi Universiti Utara Malaysia, Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Politeknik Sultan Abdul Halim dan beberapa institusi berasaskan teknikal di Tanah Merah, Kedah.(sekarang Bandar Darulmana) Ketika ini dalam pembinaan Sekolah Sains Kubang Pasu yang terletak di Batu 20, menghala ke Padang Perahu

Dilihat dari segi penduduknya Kubang Pasu dilihat antara daerah di Kedah yang mempunyai paras pendapatan perkapita yang agak stabil. Paras kemiskinan di daerah ini adalah rendah berbanding daerah lain di negeri Kedah. Ini mungkin disebabkan kesedaran terhadap pendidikan oleh generasi terdahulu menyebabkan pelbagai perubahan telah dinikmati oleh generasi sekarang. Arus kemodenan yang melanda sedikit sebanyak telah mengubah peradapan yang di amalkan oleh masyarakat lama. Mungkin amalan gotong-royong menyediakan kenduri kahwin sudah kurang di amalkan kerana generasi kini lebih tertumpu kepada amalan catering yang telah menghadkan masa mereka bermasyarakat.

Tidaklah susah jika ingin menembusi pertempatan Megat Dewa memandangkan ia berada ditengah-tengah laluan utama Jitra ke Arau. Daripada Kota Setar samada melalui jalan persekutuan iaitu Jalan Syed Putra melalui beberapa pekan kecil seperti Mergong, Kuala Sungai, Alor Janggus, Air Hitam, Kerpan seterusnya kita akan bertemu dengan Lana Bulu Tok Kepak, Manggol Bongor dan akan berjumpa Megat Dewa. Pertempatan selari daripada pekan Sanglang ke Kodiang jua boleh di tembusi dengan menaiki keretapi tanah Melayu (KTM) di perhentian Arau ataupun Kodiang. Selain itu ia boleh ditembusi melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), melalui PLUS perjalanan perlu diteruskan sehingga melepasi pekan Jitra kemudian diikuti dengan susur keluar sama ada melalui Jitra atau Malau .
Pelbagai hidangan yang enak boleh dinikmati sepanjang perjalanan ke Megat Dewa, misalnya boleh singgah di Telok Kechai, Kuala Kedah menikmati Laksa Kedah yang tiada tolok banding kesedapannya. Begitu jua di Kuala Perlis tersaji juga hidangan Laksa ala Perlis dengan rasa dan aroma tersendiri. Bersantai seketika di Kodiang menikmati pasembor yang memang menyelerakan. Begitu jua dengan Mee bandungnya. Jika ingin membeli belah dengan harga bart, Thailand bolehlah menyusur PLUS terus ke Bukit Kayu Hitam atau Danok. Ada penduduk setempat memberitahu Wang Kelian dan Padang Besar tidak kurang jua hebatnya jika ingin memberi produk Thailand. Namun kini sudah ada alternatif baru, pergi saja ke Alor Setar atau Jitra , Borong Sakan, Borong Man dan beberapa rangkaian perniagaan lain juga telah siap sedia dengan produk Thailand dengan harga yang berpatutan.Kalau di Jitra boleh pergi ke SNZ di Bangunan Sim pelbagai jenis baju, tudung dijual dengan harga yang berpatutan.

Tentu ada yang pernah menikmati mangga sala, harum manis, mangga panjang. Kalau kena musimnya sudah pasti daerah ini kebanjiran dengan mangga dan yang lebih penting pelancong yang pulang tidak akan lupa dengan keramahan penduduknya..sesuatu yang tidak akan ditemui di KL..

Leave a comment

Pida ?

Pertama sekali bila kawan aku melihat blog ini, perkara pertama yang depa tanya apa itu pida? Bagi orang Kedah tidak sukar memahamkan mereka , bagaimana dengan orang yang dari negeri lain. Semoga cerita ini dapat memberi sedikit kefahaman kepada kawan-kawan yang ingin mengenali pida dengan lebih dekat lagi.Menurut ayah melalui cerita-cerita yang aku dengari daripada mulutnya, Pida 5 dan pida-pida yang sewaktu di Megat Dewa di buka oleh generasi datukku (tok wan panggilan datuk bagi orang-orang Kedah) iaitu bapa ayah.Walaupun keluarga kami asalnya dari Tebengau, suatu kawasan berdekatan dengan Yan Kebanyakkan peneroka kawasan paya di Megat Dewa merupakan orang luar samada daripada Perak, Pulau Pinang, Perlis, Pattani, Yala, Setul dan Kelantan. Perbezaan loghat atau telo percakapan sedikit berbeza berbanding pertempatan lain di Kedah. Mungkin ianya dipengaruhi oleh bawaan nenek moyang daripada pertempatan asal. Loghat masih bertiun Kedah namun idqamnya lebih lembut dan beralun berbanding idqam percakapan Kedah Selatan dan Pulau Pinang.

Semasa proses membuka atau meneroka tanah-tanah pida pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh generasi dahulu. Mereka terpaksa menembusi, menebang dan menerang hutan bertam, nipah, menerong dan pelbagai yang tumbuh meliar sebagai hutan paya. Apa yang pasti generasi ini mengetahui akan tanah subur yang bakal dinikmati oleh generasi dihadapan mereka.

Siapa menyangka dataran yang terhampar dengan sawah padi menghijau sekarang rupanya hutan paya suatu ketika dahulu. Terima kasih Tok Wan dan Tok kerana kegigihan yang memberi imbuhan kepada anak-cucu kini. Tahun 1960an dan 70an bermula projek membuat saliran di beberapa kawasan sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar. Cerita mak, "masa tu susah nak seberang pi rumah Tok Wa pasai kerajaan dah mula korek sungai nak bagi senang orang tanam padi dapat ayaq". Kini Megat Dewa, Sanglang, Lana Bulu, Tunjang dan beberapa tempat yang sewaktu dengannya berselirat dengan taliair. Malah pada tahun 1990an bermula satu lagi projek taliair yang merentangi sawah yang mana membolehkan petani-petani kawasan tersebut menanam padi 5 kali selama 2 tahun. Pastinya lebih lumayan berbanding tahun-tahun terdahulu, iaitu semasa padi setahun sekali.

Tidak sempat Tok Wan menikmati menafaat saliran dan empangan pedu. Walaupun dahulu Tok Wan menanam padi setahun sekali namun jelapang besar penjuru laman rumahnya tidak pernah susut dengan padi. Sesekali anak-cucu balik Tok Wan akan mengarahkan bapa saudara mengambil padi di dalam jelapang untuk diproses. Tok Wan memilih padi sebagai mata pencariannya kerana padi merupakan makanan ruji orang melayu selain itu ia juga ingin meneruskan warisan keluarga yang dibawa daripada Pattani. Nampaknya pemilihan Tok Wan ada benarnya. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, diberitakan ramai yang kebulur dan ada tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Namun bagi penduduk Megat Dewa yang bermata pencarian penanam padi kurang mengalami masalah ini.

Aku, abang merupakan generasi ketiga. Nampaknya kedua-dua abangku tampil mewarisi mata pencarian Tok Wan. kalau disebut pida kita akan terbayang suatu kawasan yang ada kalanya bertar macam kampung aku dan ada yang bertanah merah, di kiri kanan jalan digenangi dengan sawah padi dan disebelah sawah padi ada pula kok "u" yang digunakan sebagai tempat untuk mengairi air masuk ke sawah padi.Keadaan rumah pula dalam keadaan tersusun di kiri dan kanan jalan dan selalaunya sawah padi berada berdekatan dengan rumah orang kampung masing-masing. Ada juga yang menggantikan pida dengan "Feeder" contohnya Kg Feeder 5 Tok Kepak .Maksudnya tetap sama mungkin re branding agaknya.

Leave a comment

Nasib guru Phd

Seperti biasa menjelangnya tarikh 16 Mei. Ya! Hari Guru merupakan hari untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bernama guru. Pada kali ini, perayaan hari guru peringkat kebangsaan akan diadakan di Ayer Keroh Melaka.

Antara Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ialah memartabatkan profesion perguruan. Di ruangan ini, mari kita berbicara masalah yang dihadapi oleh guru-guru secara umum dan Guru-guru Bertaraf Doktor (GBD) secara khusus.

Secara amnya, kenaikan pangkat bagi guru adalah terhad berbanding pegawai sektor awam yang lain. Ini kerana bilangan warga pendidik adalah yang teramai iaitu lebih 320,000 orang.

Secara dasarnya GBD dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS). Mereka bertugas di pelbagai tempat seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Institut Perguruan dan kebanyakannya masih bertugas di sekolah-sekolah.

Dalam sistem kenaikan pangkat Kementerian Pelajaran, ijazah lanjutan seperti sarjana dan kedoktoran (Ph.D) bukanlah sesuatu keutamaan. Biasanya ia hanya dianggap sebagai prioriti yang terakhir dalam kenaikan pangkat.

Dengan kata lain, seorang guru siswazah yang memiliki sarjana atau Ph.D adalah sama sahaja taraf, kedudukan, pangkat dan gajinya berbanding rakan mereka yang memiliki sarjana muda. Malah, GBD lebih berisiko tinggi untuk ketinggalan dalam kenaikan gaji berbanding rakan mereka.

Ini kerana semasa belajar selama lima tahun (dua tahun sarjana + tiga tahun Ph.D), guru di sekolah ada peluang mendapat kenaikan gaji melintang atau menegak. Semasa belajar, GBD hanya diberi pergerakan gaji secara mendatar walaupun cemerlang. Jika gagal pula GBD berisiko tinggi untuk mendapat gaji statik.

Walaubagaimanapun, sebagai warga pendidik yang diberi peluang menimba ilmu sehingga peringkat tertinggi, GBD merasa bersyukur kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengetahuan tentang pendidikan. Berbekalkan sedikit ilmu, mereka menjadikannya sebagai bekalan bermakna dalam meneroka pelbagai ilmu Allah yang sangat luas ini.

Dalam hal ini, GBD bukanlah dikategorikan sebagai guru yang mengejar pangkat, wang, kebendaan material, kemasyhuran dan sebagainya. Apa yang dilakukan oleh GBD adalah semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Sehubungan itu, kesediaan dan kesetiaan mereka berkhidmat dalam KPM walaupun mendapat imbuhan yang kurang berbanding rakan mereka di Kementerian Pengajian Tinggi harus dipuji.

Umumnya, GBD begitu bersemangat untuk membantu KPM menjayakan PIPP terutamanya berkaitan misi memartabatkan profesion perguruan.

Cabaran pertama ialah bagaimana hendak melaksanakan apa yang dipelajari semasa di universiti dahulu. Banyak teori terpaksa dibiarkan sahaja walaupun ia terbukti berkesan. Malah inovasi yang pernah dikemukakan GBD dan telah memenangi anugerah masih sukar dipraktikkan kerana terdapat beberapa halangan dasar.

Cabaran kedua ialah kesukaran dalam membuat kajian dan membentangkan hasil kajian sama ada di dalam dan luar negara. Kekurangan peruntukan atau tiada peruntukan seringkali dijadikan alasan. Ini jauh berbeza dengan rakan mereka di institut pengajian tinggi (IPT) yang sememangnya diarah berbuat demikian.

Bermutu tinggiCabaran ketiga ialah kemudahan dan keselesaan semasa menjalankan tugas untuk menghasilkan kajian bermutu tinggi seperti tiada bilik khas seperti pensyarah di universiti.

Walaupun terdapat berbagai halangan yang ditempuhi, namun GBD tetap tabah menghadapinya. Ada ketikanya GBD terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membentangkan kertas kerja yang dianjurkan pihak universiti sama ada di dalam mahupun di luar negara. Ini termasuklah kos perjalanan, penginapan, makan minum dan yuran seminar.

Walaupun kajian ilmiah paling kurang diambil kira dalam kenaikan pangkat, minat yang mendalam dan amanah yang dipikul mendorong GBD melakukan usaha murni ini. Ini berbeza dengan pensyarah universiti yang sememangnya membuat kajian untuk kenaikan pangkat.

Dalam konteks Bahasa Arab, tugas GBD semakin mencabar. Berdasarkan buku Directory of Expert yang diterbitkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Dasar Pendidikan (EPRD), KPM 2007, hanya dua GBD sahaja yang memiliki kepakaran dalam bidang Bahasa Arab. Jadi tugas untuk mengembangkan dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran semakin banyak menghadapi halangan.

Bayangkan betapa banyak wang peruntukan KPM untuk menghasilkan seorang guru sehingga menjadi GBD. Terdapat empat peringkat pengajian terpaksa ditanggung sepenuhnya iaitu sarjana muda (empat tahun), diploma pendidikan (satu tahun), sarjana (dua tahun) dan ijazah kedoktoran (tiga tahun). Ini bererti, selama 10 tahun pengajian ditanggung dengan 19 tahun ikatan perjanjian untuk berkhidmat dengan KPM iaitu (10+0+4+5).

Jadi, kos untuk menghasilkan seorang GBD dalam bidang Bahasa Arab adalah tinggi iaitu menelan belanja ratusan ribu ringgit seorang. Ini termasuk kos biasiswa, yuran pengajian, kos sara hidup, elaun keluarga, gaji dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu, membiarkan GBD mengajar subjek lain yang bukan opsyennya suatu kerugian besar untuk mencapai kualiti pendidikan.

Posted in | Leave a comment

Haziq...selamat menduduki UPSR


Esok bermulalah perjuangan , percaturan bagi Muhd Haziq .Setelah sekian lama bertungkus lumus, tuisyen siang malam pagi petang. Segala ilmu yang dikumpul selama ini akan diterjemah bermula esok hanya 3 hari sahaja. Apa yang penting Haziq harus tenang apabila berada di dewan exam, jangan gelabah, mulakan dengan membaca doa dan surah yang penting. Haziq perlu menjawab dengan betul .jawab apa yang ditanya dan jangan jawab apa yang Haziq tahu,mak lang rasa semua perkarai ini telah didedahkan sebelum ini jangan risau selamat menduduki exam dan selamat mendapat 5A,, dan selamat dapat hadiah dari mak lang dan pak lang.

Leave a comment

Syahdunya. Dendang Perantau


Setiap kali Syawal menjelang lagu hari raya yang menjadi pilihan ramai adalah Dendang Perantau . Walaupun dibanjiri dengan lagu-lagu baru yang lebih advance tapi P.Ramlee juga tetap menjadi pilihan hati. Apabila mendengarkan lagu tersebut aku seperti terbayang hidup di zaman tersebut dengan sejuknya air di kali , damainya desa tercinta dan "si dia" yang sedang menunggu yang seperti mengamit-gamit aku untuk kembali ke zaman itu. Bagi aku lagu Dendang Perantau tetap evergreen, malar segar dan retro walaupun di ulang berkali kali kalau kita menyambut hari raya pada tahun 2020 pun lagi ini tetap relevan !!!. Dendang perantau mengajak kita untuk kembali ke suatu zaman yang penuh dengan masyarakat yang muhibbah yang cintakan alam sekitar dan secara tidak langsung tidak melupai susur galur akar jati kehidupan kita. Ya lah kalau kita anak pida yang dibesarkan di kampung mengaku sajalah , walaupun kini kita berada di kota besar K.L

Leave a comment

Bowling Kspk


Kspk Tmk telah diamanahkan menjadi penganjur pertandingan Bowling antara pelajar Kspk Tmk Ambilan Januari 2008. Sambutan yang diterima amat menggalakkan .Pertandingan dijalankan di Indah Parade , Carefour Sri Petaling. Pelbagai skil telah ditunjukkan oleh pemain sama ada skil yang dirancang dan skil yang tidak dirancang. Antara skil yang banyak sekali pemain lakukan ialah skil masuk dalam longkang..Maklumlah pertama sekali pegang bola bowling, termasuklah aku .Bukannya apa tak biasa lagi, tapi jangan tak percaya strike juga ada 3 , 4 kali juga . kalau berlatih lagi mungkin jadi macam Shalin Zulkifli. Apapun tahniah kepada saudara Nasa dan Cik Muna kerana menjuarai peratandingan ini. kalau ada masa kita anjurkan lagi pertandingan ini.

Leave a comment

Puteri ..Ratu hatiku.



Akhirnya dengan kuasa Allah , kami telah dianugerahkan seorang puteri setelah pelbagai onak dan duri dihadapi oleh isteriku hampir 3 tahun.Mungkin sudah ditakdirkan puteri akan dilahirkan di negeri kelahiranku Kedah. Lebih kurang pukul 11 pagi waktu itu aku masih berada di bendang bersama bapa mertuaku membantunya menabur baja di Matang Bonglai. Tiba- tiba aku dikejutkan oleh bunyi deringan hand phone yang dibuat oleh kakak iparku, Timah"balik, Nab sakit" aku terus balik ke rumah dan sampai dalam pukul 11.30 .Selepas semua berkemas kami terus menuju ke INS Specialist, tempat anak kedua aku dilahirkan. Isteri aku dimasukkan ke wad dan dalam pukul 4.23 isteriku selamat melahirkan puteri pertamaku. Aku dan isteriku memberi nama Puteri Afrina Batrisyia yang bermaksud "puteri yang putih kemerah-merahan". Lengkaplah kehidupan kami dengan 2 orang putera dan seorang puteri Muhammad Aimull Najwan dan Muhammad Aniq Durrani

Leave a comment

Sekolah Ganti


Hari ini aku terpaksa ke IPBMM kerana cuti ganti Hari Raya yang akan menjelang nanti. Walaupun malas terpaksa pergi juga. Tapi yang bestnya di atas jalan lengang tidak seperti hari biasa dan bila balik pula cukup cepat dalam 10 minit saja dah sampai rumah.Kalau hari biasa jangan cakaplah bawa roti makan jem atas keta (opppps..bulan puasa tak boleh) Aku terpaksa juga pergi kerana perancangan lawatan Kspk belum selesai lagi.Keadaan menjadi semakin kalut, mana nak siap projek khas, terpaksa menghadapi amali dan pelbagai lagi tugasan. Ingatkan masuk Kspk senang , rupanya susah juga .Yalah mana ada kerja senang..

Leave a comment

Menanti Konvo

Hari ini aku berada dalam debaran menanti detik 16-22 Oktober setelah penat berjuang..Selepas menyelesaikan ijazah pertama di UPM aku terus ambil keputusan untuk menyambung pengajianku ke peringkat Master di U yang sama dengan pensyarah yang sama, bilik kuliah yang sama yang berbeza cuma rakan kuliah sahaja. Masa begitu cepat berlalu pada bulan April juga merupakan bulan ulangtahun kelahiranku selepas selesai menyiapkan kertas projek aku pun tamatlah bergelar seorang mahasistua (mungkin sesuai dg diri ini). Pelbagai ranjau yang terpaksa dihadapi oleh geng 3 A, Abd Majid, Ayak, Abd Manaf. Apapaun tak tahu lagi apa perancangan selepas ini .Tapi yang penting aku telah membuktikan bahawa cikgu di Sekolah kampung Pulau Meranti yang dilabelkan sekolah di luar bandar juga mampu berjaya ke tahap yang lebih baik lagi yang penting jika ada usaha dan kemahuan " dimana ada kemahuan di situ ada jalan"

Leave a comment

Lagi Tentang Saya

My photo
Kg Feeder 5 Tok Kepak, Megat Dewa, Kedah, Malaysia
kesukaran menjadikan diri ini lebih tabah merencanakan kehidupan yang lebih baik

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "