Alahai...gulai

Gulai batang pisang adalah antara masakan kampung orang Kedah yang masih diminati ramai terutama pada majlis kenduri kahwin.

Gulai ini, yang dicampurkan dengan daging, pasti menjadi rebutan dan masakan ini lazimnya akan habis dahulu berbanding yang lain semasa kenduri. Masakan ini jarang ditemui di restoran dan kedai makan walaupun juadah ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Gulai batang pisang, gulai kawah, gulai nangka, gulai ikan talang masin, gulai rebung dan kerabu pucuk paku adalah antara masakan kampung orang Kedah yang boleh ditemui pada majlis kenduri kahwin.

"Kalangan generasi sekarang tidak pernah menikmati keenakan gulai batang pisang, apabila ia dihidangkan sudah tentu menjadi rebutan," kata Hamid Mat, 70.

Hamid memilih gulai batang pisang, selain dari masakan lain seperti kurma daging, untuk dihidangkan kepada tetamunya pada majlis perkahwinan anaknya Mohamad Nizam, 28, dan pasangannya Habibah Kassim, 28, di Kampung Paya, Kodiang di sini, baru-baru ini.

POKOK PISANG HUTAN

Lazimnya pokok pisang hutan yang tumbuh liar di kawasan berbukit digunakan dalam masakan ini.

Pokok pisang hutan tidak ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan disebabkan ia mempunyai banyak biji. Hanya pokok pisang hutan yang masih muda iaitu belum berbuah diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang, untuk dimasak.

Menurut Hashim Awang, 73, seorang yang mahir dalam mencari dan mengambil batang pisang hutan, pokok pisang jenis ini menjadi pilihan kerana pisang lain perlu ditanam dan buahnya boleh dimakan.

"Pokok pisang hutan ini tidak payah ditanam, banyak mana nak ambil pun boleh dan ia memang cukup untuk berapa ramai tetamu yang diundang," katanya.

Selepas pokok pisang ditebang, batang pisang itu perlu dikoyak kulitnya untuk mengambil umbut yang masih lembut.

Walaupun terpaksa meredah belukar, hutan dan mengharungi anak sungai, semangat gotong-royong yang masih diamalkan penduduk membuatkan tugasan mengambil batang pisang hutan itu agak mudah dan menyeronokkan.

Ketika meredah rimba, mereka turut berpeluang untuk mengambil hasil hutan seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam.

"Umbut batang pisang dimasukkan ke dalam kawah apabila daging hampir separuh masak, jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut," kata Samsudin Ismail yang mengetuai kumpulan penduduk memasak pada majlis kenduri tersebut.

MASAKAN PILIHAN

Pada kenduri tersebut, ramai tetamu yang ditinjau pendapat mereka mengakui masakan tersebut memang sedap dan menyelerakan. Bagi anak kampung yang bekerja atau menetap di kota, sudah tentu kepulangan mereka ke kampung cukup bermakna apabila berkesempatan menikmati keenakan gulai batang pisang.

"Sudah lama saya tidak pekena (makan) gulai batang pisang ini, ini kegemaran saya sejak kecil, mana ada di bandar," kata Ismail Husin, 49, seorang guru yang bertugas di Kuala Lumpur.

Mereka mahukan masakan kampung orang Kedah ini terus dipertahankan bukan sahaja di majlis kenduri kampung malah patut dijadikan menu pilihan pada majlis-majlis rasmi anjuran badan-badan kerajaan di bandar-bandar besar.

. Bookmark the permalink.

Lagi Tentang Saya

My photo
Kg Feeder 5 Tok Kepak, Megat Dewa, Kedah, Malaysia
kesukaran menjadikan diri ini lebih tabah merencanakan kehidupan yang lebih baik

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "