Sekali pasir berubah....

Umum telah mengetahui ragamnya cuaca Malaysia di garisan lintang
Khatulistiwa ini. Panas dan lembab sepanjang tahun itulah antara hafalan
minda dari teks geografi alam persekolahan lalu. Lazimnya angin monson
barat daya membawa hujan lebat ke beberapa negeri di seluruh Semenanjung
dan mengakibatkan banjir besar. Teringat ketika di laman ayah dan mak
ketika kecil dan remaja. Rumah di tengah sawah agak bergegar ketika dirempuh
ribut barat daya. Kami adik beradik berpelukan ketakutan. Jika berlaku
ribut ayah akan pastikan semua anak-anaknya berada di jelapang padi
berdekatan rumah. Hanya beliau sahaja berada di atas rumah menanti redanya
ribut. Tidak hairanlah dimusim sebegini banyak rumah yang roboh atau
diterbangkan bumbung oleh angin monson di Pida 5 atau kawasan yang
sewaktu dengannya.

Ayah merupakan seorang fasih menterjemahkan olakan alam semula jadi.
Mungkin kesan daripada pengalamannya ketika kecil yang pebuh dengan onak dan duri.. Melihat pergerakan bulan ayah dapat mengagak air laut pasang atau surut biarpun rumah tengah sawah itu agak berkilometer jua daripada pinggir laut Kuala Sanglang. Melihat pergerakan asap yang keluar daripada nasi dihidangan abah dapat merasai yang hujan pasti akan berterusan. Mendung biru gelap membawa hujan berbeza dengan kegelapan dek bawaan ribut itu yang dikatakan oleh ayah. "cepat-cepat pi ikut mak nuhh ribut nak mai dah", antara arahan ayah kepada kami apabilamelihat kegelapan drp arah barat daya atau timur laut. Apa yang pasti dahulu anak ayah yang seorang ini jika melihat kumulusnimbus besar hitam
pekat mestinya akan berlarian pulang meskipun dalam perjalanan ke sekolah.
Seolah kumulus itu mahu menelannya, dan yang pasti hari itu ponteng sekolah la jawabnya.

Musim sebegini jua banyak ikan-ikan daripada hulu sungai bergerak bebas
menuju tali-tali air di Dataran Muda, Kedah. Ternyata pergerakan ikan-ikan
ini memberi rezeki kepada penduduk-penduduk di kawasan ini. Musim sebegini
merupakan cuti tanpa gaji bagi golongan nelayan pinggiran pantai dan laut
dalam. Namun bagi golongan pesawah habuan ikan air tawar yang menerjah ke
kawasan mereka di musim ini menjadi rezeki yang dibawa hingga ke Pekan
Rabu, Alor Star sebagai pekasam dan ikan kering. Kegiatan menahan taut
selalunya dilakukan dimusim ini. Taut dibuat daripada buluh yang diraut
sebesar jari kelingking dan dipotong empat atau lima jengkal panjang.
Kemudian ianya akan diikat dengan tali tangsi pendek kemudian diperambut
dengan mata kail besar yang sesuai dengan mulut haruan. Batang-batang taut
ini akan dipacak batas tepi sawah mengadap ke arah pokok-pokok padi.
Batang-batang taut ini akan ditinjau dari masa kesemasa bagi memastikan
umpannya sudah mengena ataupun tidak. Kegiatan ini selalunya dilakukan
ketika dinihari.

Banjir besar yang melanda di sekitar bulan Disember menyebabkan jadual
peperiksaan-peperiksaan besar (SPM dan STPM) Malaysia diperawalkan. Bumi
Megat Dewa seingatku tidak pernah disentuh banjir mungkin disebabkan bentuk
geografinya yang berselirat dengan saliran memudahkan pergerakan air ke
laut. Tetapi kejadian pada tahun 2005 telah mengubah panorama sebelum ini.

Pengalaman aku menghadapi banjir besar di Kedah pada tahun 1988. Ketika itu
cuti bulan Desember. Hujan yang berterusan di sertai dengan air pasang di Selat Melaka dan pelepasan air dari Empangan Pedu dikatakan antara penyebab banjir besar tahun itu. Seronok menghadapi banjir hingga hampir melupai keselamatan
diri. Pengalaman meredah air banjir ke paras pinggang dan hampir tertelan air berwarna teh ais merupakan sesuatu kenangan yang sukar aku perolehi. Perjalanan balik ke Megat Dewa melalui Jalan Putra kelihatan sawah-sawah padi mulai ditenggelami dengan banjir di sekitar Mergong, Alor Janggus dan Jerlun. Tahun 1988 ini jua bumi Jitra teruk di ratah banjir besar menyebabkan beberapa sekolah disekitarnya menghadapi bahana peninggalan banjir tersebut. Kesannya tercatat di Majalah Sekolah Men Jitra tahun 1989.

Desember ini Angin Monson tidak lupa akan tugasnya. Banjir besar di pantai
timur Semenanjung telah mengorbankan beberapa nyawa. Malang tidak berbau
dan sesiapapun tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.

Dahulu mandi berkuyup dengan air hujan tidak pernah demam, kini
tertempias air hujan pun sudah terbersin.

. Bookmark the permalink.

Lagi Tentang Saya

My photo
Kg Feeder 5 Tok Kepak, Megat Dewa, Kedah, Malaysia
kesukaran menjadikan diri ini lebih tabah merencanakan kehidupan yang lebih baik

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "